Brunei LNG, BenA wakili negara ke GASEX di Hanoi
Written by Writer on Friday, November 14th, 2008
Brunei LNG, BenA wakili negara ke GASEX di Hanoi
Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Brunei LNG Sdn Bhd dan Persatuan Tenaga Brunei (BenA) mewakili negara dalam persidangan dan ekspo pertukaran maklumat gas bagi Pasifik Barat kali ke-10 (GASEX) bermula hari ini sehingga 15 November di Pusat Konvensyen Kebangsaan Hanoi, Vietnam.
Delegasi Brunei LNG diketuai oleh Pengurus Besar Kanan, Haji Matsatejo Sokiaw manakala BenA diketuai Presidennya, Haji Zainal Abidin Haji Ali yang juga selaku Timbalan Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum.
Haji Zainal Abidin juga akan mempengerusikan persidangan teknologi gas asli pada 13 November ini. Delegasi dari Brunei LNG menunjukkan komitmen berterusan kepada pembeli dan pemegang kepentingan bersamanya dari segi mempromosi Brunei LNG sebagai pembekal pilihan pertama bagi pemegang amanahnya.
Sebagai pengeksport gas cecair asli hampir selama 40 tahun, Brunei LNG merupakan landasan terbaik untuk menerangkan kesediaan negara ini dalam memberi banyak perniagaan gas cecair asli melepasi tahun 2013 apabila kontrak bekalan ke Jepun dan Korea Selatan mansuh.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Dr Tan Ngoc Canh yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETROVIETNAM telah menyatakan tema bagi persidangan dan ekspo tahun ini adalah perpaduan dan pembangunan berdaya tahan bagi mengongsi dan bertukar pandangan, pengetahuan serta kepakaran.
Persidangan itu pula menekankan pada keperluan bagi perpaduan serantau ke arah berdaya tahan manakala ekspo memaparkan penggerak utama dalam industri gas.
Sejak persidangannya pada 1990, GASEX menjadi aktiviti antarabangsa penting bagi penyelarasan bersama, perhubungan dan pertukaran di kalangan ahli organisasi dan perusahaan gaS di rantau ini.
Ahli organisasi termasuk Australia, Brunei, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Taipei, Thailand dan Vietnam.
GASEX 2008 memuatkan ucaptama, sesi pleno, perbincangan panel dan sesi merangkumi isu situasi ekonomi ahli ekonomi GASEX masa kini, bekalan dan permintaan gas serta aplikasi dan penggunaan gas.
Media Permata Online
Khamis, 13 November 2008




































